RENCANA
UTAMA: Cabaran mendidik di pedalaman
SYIMIR tetap menjalankan
tugasnya dengan komited walaupun dihantar jauh ke kawasan pedalaman.
BAGI kebanyakan guru baharu, menunggu waktu
penempatan untuk sekolah yang bakal diajar merupakan saat yang mendebarkan.
Malah, boleh dikatakan masing-masing berharap akan ditempatkan di sekolah yang
terletak di lokasi strategik seperti di bandar-bandar terkemuka, daerah atau
negeri yang tidak jauh dari tempat kelahiran mereka.
Justeru, apabila dimaklumkan status
penempatan sekolah mereka di kawasan pedalaman atau luar bandar, pasti terdetik
rasa kecewa kerana apa yang diharapkan tidak kesampaian.
Bagaimanapun, sebagai seorang guru setiap
amanah yang diberi akan dilaksanakan sebaik mungkin demi mendidik anak bangsa
agar menjadi orang bergunadengan berbekalkan ilmu dan teknik yang telah
dipelajari.
Itu antara fasa hidup yang dilalui Siti
Herdawati Hamidun, 29, seorang guru yang ditugaskan mengajar di Sekolah
Kebangsaan Pendam yang terletak di daerah Samarahan, Sarawak walaupun beliau
menjalani latihan praktikal di ibu kota dan mempraktik ilmu di pedalaman.
Menurut anak kelahiran Raub, Pahang yang
mesra dengan panggilan Wawa itu, sewaktu mengetahui dia bakal ditempatkan di
Sarawak, hatinya berbunga riang memandangkan si suami turut bertugas di Bumi
Kenyalang.
"Namun, apabila keputusan rasmi
dikeluarkan iaitu saya akan mengajar di daerah Samarahan, saya sedikit sedih
kerana ia terletak jauh dari lokasi suami bekerja iaitu di Kuching ibu kota
Sarawak.
"Tetapi, akhirnya saya sedar ia
merupakan tanggungjawab yang perlu dipikul dan saya terima keputusan itu dengan
hati terbuka serta berfokus kepada tanggungjawab seorang guru. Ternyata sikap
positif itu mendominasi saya lebih bersemangat untuk mendidik anak-anak di
sekolah tersebut," ujar Wawa yang mula bertugas di Samarahan sejak tiga
tahun lalu sejurus menamatkan diploma Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) di
Maktab Perguruan Ilmu Khas, Kuala Lumpur.
Tambah Wawa, pada mulanya dia mengalami
kesukaran untuk memahami pertuturan murid-murid di sekolah itu kerana loghat masyarakat
mereka dalam bahasa ibunda didominasikan sepenuhnya.
Hadiah
berharga
Justeru, secara perlahan-lahan, ibu kepada
dua cahaya mata itu cuba mempelajari bahasa pertuturan mereka untuk mendekatkan
diri dengan murid-murid di sekolah tersebut serta menghindari sifat negatif
dalam diri.
"Alhamdulillah, kini masalah tidak
faham dialek sudah berjaya diatasi dan saya seronok mengajar anak-anak ini yang
sentiasa bersemangat untuk belajar terutama apabila gunakan teknologi komputer.
"Paling terharu apabila
pelajar-pelajar menghadiahkan saya barang-barang seperti sabun, beras dan
buah-buahan sempena Hari Guru atau ketika dusun milik ibu dan ayah mereka
berbuah. Ia merupakan satu hadiah yang sangat bernilai bagi saya.
"Bagi saya hadiah sebegitu amat
berharga walaupun bukan barangan yang mahal kerana apa yang penting ialah
ingatan mereka kepada guru yang telah mendidik mereka," jelas Wawa yang
mengajar subjek Bahasa Melayu di sekolah tersebut.
Sementara itu, anak muda bernama Faris
Syimir Rozaini, 24, yang turut ditugaskan mengajar di daerah Kapit, Sarawak
memberitahu, cabaran mengajar di pedalaman sangat berbeza berbanding mengajar
di kawasan bandar.
Kesusahan hidup di kawasan luar bandar
secara tidak langsung menjadikan proses pengajaran itu semakin sukar. Ditambah
pula dengan bahasa ibunda yang berlainan, ia juga menyumbang kepada cabaran
yang dihadapi pendidik.
Hormat guru
"Guru-guru yang mengajar di kawasan
pedalaman boleh dianggap sebagai tentera kerana tugas mereka tidak sekadar
mendidik. Di bandar, kita selalu dengar apabila murid sakit, gurulah doktornya
dan bila murid hendak bermain bola, gurulah jurulatihnya.
KEKURANGAN infrastruktur
seperti jalan yang berlumpur tidak menghalang pelajar untuk ke sekolah.
"Tetapi di pedalaman, jika sekolah
tiada air, gurulah yang akan meredah sungai dan mendaki bukit semata-mata untuk
menyambung paip air yang tercabut dan membekalkan air kepada semua penghuni
sekolah," ujar Syimir dalam aspek cabaran fizikal yang dihadapi guru-guru
di pedalaman.
Tambah guru subjek Bahasa Inggeris,
Pendidikan Moral dan Dunia Seni Visual itu, dari satu aspek lain, guru-guru di
kawasan luar bandar begitu dihormati oleh masyarakat setempat kerana sanggup
meninggalkan keluarga, isteri dan anak-anak demi mengajar anak-anak mereka.
Justeru, ibu bapa biasanya tidak lokek
berkongsi rezeki dengan guru di sekolah anak mereka.
"Di sini, kami sering menerima hadiah
dalam bentuk hasil hutan. Pernah sekali seorang rakan sejawat saya menerima
seekor rusa hasil buruan penduduk tempatan. Ia memang sesuatu yang tidak
dijangka dan membuatkan kami rasa amat dihargai," terang Syimir yang
melahirkan harapan agar anak didiknya mampu mengamalkan apa yang telah diajar
kepada mereka untuk menjadi insan yang berjaya. - KHADIJAH MOHAMAD NOR
